Kemenangan besar Barisan Nasional dalam pilihan raya kecil bagi kawasan DUN Chini sudah dijangkakan. Kalau Pakatan Harapan masih menjadi kerajaan persekutuan, kawasan itu tetap dijangka dipegang BN.

Tetapi apa yang lebih menarik daripada keputusan PRK itu ialah gambar yang tertular dalam media sosial sehari sebelum pengundian. Gambar itu menunjukkan bekas timbalan presiden PKR, Azmin Ali bersama bekas presiden Umno, Najib Razak.

Kebersamaan kedua pemimpin itu tidak menghairankan kerana mereka sudah menjadi rakan seperjuangan dalam gabungan Perikatan Nasional yang menerajui kerajaan persekutuan pada waktu ini.

Gambar itu ditularkan pihak BN dan turut disebar luas bukan saja oleh para penyokong PN tetapi juga pendokong PH. Oleh kerana hari itu adalah menjelangnya PRK Chini, maka dapat difahami ia bertujuan untuk menyatakan pada pengundi kawasan itu bahawa PN menyokong calon BN. Mesej kempen adalah jelas untuk penyokong Azmin dalam kalangan PKR yang kemungkinannya ada sedikit di kawasan itu, bahawa beliau menyokong calon Umno.

Tetapi mesej yang lebih luas bukan untuk pengundi Chini semata-mata, tetapi bagi seluruh rakyat. Gambar itu hendak menegaskan kini Azmin dan kumpulannya, iaitu mereka yang keluar dari PKR dan mengumumkan penyertaannya ke dalam PPBM kini sudah bergabung dengan BN, dan itulah kedudukan mereka dalam menghadapi pilihan raya umum ke-15 yang akan datang.

Sementara para penyokong PH yang turut menularkan gambar itu pula seringkali dikepilkan dengan video lama ucapan lama Azmin semasa berkempen menentang BN dan Najib. Ia mahu menunjukkan betapa beliau berpaling tadah dan mengkhianati kata-katanya sendiri.

Tetapi perkara seumpama itu tidak wajar dihairankan apabila ahli politik mengubah haluannya. Tentulah ucapan dan tindakannya sudah berubah, dan apa yang dikatakan dulu tidak sama dengan apa yang dizahirkan pada hari ini.
Pun begitu, Azmin pada waktu ini mempunyai kedudukan lebih istimewa daripada yang lain. Najib adalah bekas perdana menteri yang sudah tiada kuasa. Beliau juga tidak lagi menerajui BN dan Umno walaupun pengaruhnya masih kuat dalam partinya dengan Presiden Umno, Zahid Hamidi dianggap sebagai sekutunya.

Tetapi Azmin boleh dianggap sebagai pemimpin utama de facto PN. Walaupun Muhyiddin Yassin presiden PPBM dan merupakan perdana menteri tetapi keseluruhan inisiatif politik yang membawa kepada penubuhan kerajaan PN datangnya dari Azmin.

Adalah diketahui umum Langkah Sheraton dari awal lagi digerakkan oleh fraksi Azmin bersama pemimpin Umno, Hishammuddin Hussein. Muhyiddin sebagai pemimpin PN hanya timbul kemudian, itupun setelah Dr Mahathir Mohamad enggan menyertai inisiatif itu.

Maka kini walaupun Azmin tidak menyandang jawatan timbalan perdana menteri tetapi Muhyiddin menunjukkan Azmin adalah menteri kanan “paling kanan” apabila menyatakan ketika ketiadaan beliau, Azmin menteri yang mempengerusikan mesyuarat Kabinet.

Maka tamparan politik paling besar yang diterima oleh PH bukannya dari Muhyiddin dan PPBM tetapi datangnya dari Azmin dan kumpulan, yang wujud lama sekurang-kurangnya sejak PRU 2008. Malah diiktiraf sendiri oleh orang PKR sebagai fraksi dalam parti.

Azmin penyandang jawatan politik penting bagi Anwar Ibrahim ketika bekas timbalan presiden Umno itu menjadi menteri kewangan kerajaan BN pimpinan Mahathir. Sebaik saja tamat pengajiannya di Amerika Syarikat, beliau menceburi dunia politik. Seharusnya beliau mempelajari dan dapat memahami selok-belok politik kepartian, khususnya bagaimana dapat sistem Umno itu dapat menjadikannya berkuasa begitu lamanya.

Sistem Umno adalah bersifat “naungan” atau “patronage.” Maknanya pemimpin mesti memberi “naungan” kepada penyokongnya bagi mengekalkan kesetiaan. Ini tidaklah bermakna Umno tidak berprinsip atau tidak memiliki idealisme perjuangan. Semua parti politik mempunyai asas perjuangannya. Begitu juga dengan Umno. Tetapi perjuangan ini hanya dapat dilaksanakan sekiranya ada pendokong, pengikut, dan pengundi.

Maknanya sesebuah parti politik yang berjaya bukan saja mahu menerapkan prinsip perjuangannya tetapi juga memberi “naungan” pada pengikutnya. Naungan itu boleh datang dalam berbagai bentuk, sama ada lantikan atau kemudahan. Atau disebut sebagai “guna orang dalam” atau “kabel.” Atau dalam kata lain, ia juga disebut “habuan” atau “ganjaran.” Barulah kesetiaan itu dapat diikat dan kerja atau aktivisme dalam dilaksanakan.

Tetapi “naungan” ini tidak boleh keterlaluan, apatah lagi jika melanggar etika atau undang-undang. Ia boleh menjadi korupsi, nepotisme, kolusi, dan kleptokrasi. Maknanya “naungan” hendaklah terkawal dan bersifat “berprinsip.” Apa yang dihadapi Umno apabila “naungan” ini sudah keterlaluan yang menyebabkan sebahagian rakyat hilang kepercayaan.

Dalam melaksanakan sistem “naungan” ini, sesebuah parti politik tidak harus kelihatan terlalu mengutamakan penyokongnya. Ini kerana tujuan penubuhan parti politik adalah untuk berkhidmat pada rakyat, lebih-lebih lagi apabila menjadi kerajaan, “naungan” itu perlu diperluaskan pada rakyat umum, walaupun tentulah para penyokong dapat mempunyai kedudukan yang lebih.

Di sinilah apa yang gagal dilakukan oleh kerajaan PH semasa 22 bulan. Politik PH bersifat “berprinsip” semata-mata dan hampir tiada “naungan.” Mahathir mengisytiharkan kerajaan “rule of law” (kedaulatan undang-undang), serta penegasan bagi langkah penjimatan dan memerangi korupsi.

Tanpa sistem “naungan,” PH hilang kesetiaan daripada penyokong mereka. Walaupun mereka berjuang atas prinsip dan idealisme tetapi jika mereka tidak memperolehi “naungan” tentulah mereka sukar untuk mengekalkan momentum keaktifan. Hanya selepas setahun barulah kerajaan PH tersedar pengikut mereka perlu “dinaungi” untuk mengikat kesetiaan.

Kesedaran itu sudah terlambat. PH kehilangan kesetiaan daripada sebahagian ahli Parlimennya dalam kalangan PKR dan PPBM. Malah menteri PH pun sanggup melompat yang membawa kejatuhan kerajaan. Mereka kehilangan sabar kerana tidak dapat memberi “naungan” pada para pengikut masing-masing.

Malah kempen yang dilancarkan oleh penyokong Umno dan PAS bagi menentang PH atas nama bangsa dan agama sepanjang 22 bulan itu boleh dilihat sebagai tuntutan “entitlement” mereka sebagai orang Melayu-Islam untuk mendapatkan “naungan.”

Sistem “naungan” ini bukanlah fenomena moden. Dalam politik Melayu lama feudal pun ia dilaksanakan. Bacalah hikayat-hikayat lama bagaimana politik istana berfungsi.

Pada zaman kolonial, pentadbir british juga melaksanakan konsep “naungan” ini. Mereka menaungi kerajaan-kerajaan Melayu. Maka tidak hairanlah, mereka tidak memanggil negeri-negeri Melayu ini sebagai tanah jajahan, ia dipanggil “Protectorate” atau Negeri Naungan.

Kedudukan British sebagai penjajah negeri-negeri Melayu dicabar apabila gagasan Malayan Union didapati meruntuhkan “naungan” yang diberikan. British boleh mengubah kerajaan Brooke Sarawak kepada Crown Colony tetapi mereka tidak boleh meruntuhkan protectorate negeri-negeri Melayu.
Konsep “naungan” ini dijelaskan oleh Chandra Muzaffar dalam buku kecil The Protector yang diterjemahkan menjadi pelindung. Ketika itu, iaitu sekitar awal 1980-an, Chandra adalah presiden Aliran yang kritikal terhadap Umno dan amalan politiknya. Semasa Anwar masih presiden Angkatan Belia Islam Malaysia, beliau dan Chandra sebahagian daripada pembangkang yang menentang Mahathir, Umno dan, BN.

Tetapi apabila Anwar menyertai Umno, beliau bukan saja cepat menyedari konsep “naungan” yang ada dalam parti itu tetapi turut mewujudkan satu rangkaian atau sesawang penyokongnya melalui sistem.

Dengan kaedah “naungan” inilah beliau naik dalam Umno hingga ke peringkat timbalan presiden dengan menubuhkan Team Wawasan sebagai kumpulannya. Dalam team ini turut serta Najib dan Muhyiddin yang pasti memahami dan mahir dalam sistem politik Umno.

Namun apabila Anwar disingkirkan dari Mahathir, tidak ada seorang pun anggota Team Wawasan itu mengikut beliau. Tanpa kuasa dan berada di penjara tentulah beliau tidak dapat melaksanakan “naungan” kepada pengikutnya.

Sebaliknya Chandra yang menyertai Parti Keadilan Nasional hingga mampu menjadi timbalan presiden. Tetapi Chandra mahu menolak cara politik Umno. Kelihatannya beliau melaksanakan politik “berprinsip’ dan mengetepikan “naungan”. Tanpa sumber dan amalan “naungan”, sukar bagi PKR atau parti pembangkang lain untuk mencabar Umno.

Keadaan beku ini terus berlaku pada PKR walaupun setelah Anwar bebas. Tanpa “naungan,” banyak pengikutnya meninggalkan. Ada yang kembali pada Umno atau membisu saja.

Anwar pula tidak terus berusaha mengukuhkan parti setelah bebas. Beliau banyak menghabiskan masa keluar negara melakukan pelbagai aktiviti ilmiah. Katanya, beliau perlu juga menyara hidup dirinya dan keluarga. Tetapi sebagai parti pembangkang, adalah sukar untuk memberikan “naungan”.

Hanya selepas PRU 2008, parti pembangkang yang dinobatkan Anwar sebagai Pakatan Rakyat boleh melakukan “naungan”. Tetapi ia juga gagal melakukan “naungan” dan tetap mahu hanya melaksanakan politik “berprinsip.” Kekuasaan PKR dan Pakatan Rakyat di Selangor tidak digunakan sebaiknya untuk memberikan “naungan”.

Akhirnya kerajaan PR Perak tumbang dan PAS keluar PR. Apabila Anwar kembali ke penjara, Azmin yang bergerak untuk mengukuhkan parti. Sebagai menteri besar, beliau kelihatannya melaksanakan politik “naungan”. Tidak hairanlah beliau dapat menyusun PKR pada keadaan lebih baik. Beliau dapat menghimpunkan pengikut sendiri yang dilihat sebagai suatu fraksi dalam parti. Kumpulan beliau digelar “kartel” oleh penentang-penentangnya. Tidakkah istilah “kartel” itu juga merujuk “naungan”?

Selepas memenangi PRU ke-14, Azmin mengukuhkan kedudukannya dan melalui pemilihan parti, fraksi beliau hampir menguasai PKR. Anwar yang baru bebas tidak dapat menghalang kemaraan Azmin. Sementara pemimpin parti PH lain berusaha mentadbir negara secara “berprinsip” dan mengabaikan dimensi “naungan”. Mereka tertumpu pada tanggungjawab kerajaan dan tidak cukup mengambil berat terhadap kepentingan “naungan” terhadap para penyokongnya.
Akhirnya parti-parti PH kehilangan kerajaan dan kembali untuk bergerak sebagai pembangkang. Tetapi untuk mengerahkan semula penyokongnya kali ini lebih sukar berbanding sebelum PRU-14. Inilah gara-gara mengabaikan amalan “naungan” dalam cara berpolitik.

Recent Posts