Hai pembaca bernama Mohd. Bila kali terakhir awak minum teh tarik bersama Linesh dan Kalai? Hai awak yang bernama Edmond, bila kali terakhir awak main badminton bersama Abg? Hi Yoferonica, bila kali terakhir awak tanya khabar Hui Yin? Mesti dah agak lama bukan? Dalam dua atau tiga minggu? Atau mungkin dah hampir setahun? Awak semua dah tak kawan lagi ke? Kenapa jadi begini? Bukankah kita telah berjanji untuk hidup sejahtera di bumi majmuk bernama Malaysia ini?

Semestinya ramai lagi yang berasa sebegini. Kita kini dalam fasa polarisasi kaum yang kian meruncing. Kita semakin sukar untuk bertegur sapa tambahan lagi yang melibatkan kaum-kaum lain. Adakah faktor masa semata-mata? Atau sebenarnya telah mula wujud bibit sengketa sesama kita? Pada 9 Mei 2018 yang lalu, pada mulanya ada perasaan bangga apabila melihat kita semua dikatakan bersatu atas semangat demokrasi dalam pemilihan siapa yang kita mahu dalam mengemudi negara yang kita cintai. Tetapi lama-kelamaan, bersatu itu semakin pudar mengikut waktu. Sepanjang waktu itu, seolah taufan dan badai telah menghempas perasaan tenang dan damai dalam keharmonian kita. Banyak perkara yang melibatkan kaum telah cuba merampas semangat 1Malaysia kita.

Beberapa perkara mungkin menjadi asas permasalahan ini berpunca daripada ketebalan politik perkauman dan dendam dalam diri segelintir masyarakat kita. Sejak bermula pemerintahan yang mereka gelar Malaysia baru, sejak itulah satu persatu masalah perpaduan mula berlaku. Bermula dengan pemadaman legasi 1Malaysia yang dibangunkan oleh bekas Perdana Menteri, ini merupakan bibit pertama yang membuka jurang dalam rakyat Malaysia. Secara logiknya, satu ideologi yang membawa maslahat kepada masyarakat tidak perlulah dipadam hanya kerana tidak berkenannya kita kepada seseorang yang reputasinya terpalit rasuah dan salah laku sumbang. 1Malaysia ialah roh yang menyuntik semangat dalam setiap kaum yang merasakan bahawa kita ada satu pegangan yang boleh diguna pakai untuk berpaut sebagai tali yang menyatu padukan masyarakat. Tetapi kerana politik, sebahagian daripada Klinik 1Malaysia ditutup, beberapa NGO yang menggunakan nama 1Malaysia bertukar nama, Asrama 1Malaysia turut terkena tempias dan beberapa lagi kes lain. Kini kita tiada ideologi semasa yang digubal untuk semarakkan perpaduan marcapada.

Belum sempat pun ideologi baru tercipta, kita diserabutkan pula dengan kes ICERD yang semakin mencetuskan segregasi dan ketegangan antara kaum khasnya Melayu dan bukan Melayu. Parti politik pula dilihat menggunakan kesempatan ini untuk mendapatkan sokongan melalui kaum. Ini mengeruhkan lagi keadaan. Walaupun kerajaan melalui Perdana Menteri telah meredakan isu ICERD dengan tidak meratifikasikan ICERD tetapi parti politik masih terus menerus menyimbah minyak ke api dengan membuat satu himpunan yang sekadar untuk membangkitkan rasa ketidakselesaan antara orang Melayu dan bukan Melayu di Malaysia.

Kemudiannya timbul pula isu kuil yang melibatkan antara penganut agama Hindu dan anggota bomba yang ratanya Melayu. Kes ini, walau kita klasifikasikan sebagai kemalangan tetapi ramai pihak yang menangguk di air keruh memburukkan lagi suasana harmoni di Malaysia. Rusuhan yang menyebabkan seorang hero rakyat meninggal dunia ini dijadikan isu untuk memecahbelahkan dua kaum yang sudah tinggal bersama lebih dari separuh abad. Sehingga ke Cameron Highland, kes ini dijadikan isu dalam memecah belahkan masyarakat hanya kerana kepentingan undi dan tujuan politik.

Banyak lagi isu perkauman yang dimainkan demi kelangsungan politik parti masing-masing. Isu Muslim dan bukan Muslim di mana terdapat gerakan memboikot produk bukan muslim. Ini satu keadaan yang sakit dalam masyarakat kita. Malahan sehingga ke hari ini, di Parlimen yang sedang bersidang, dan pilihan raya kecil yang baru tamat di Rantau, masih lagi terdapat pemimpin politik yang cuba melagakan kita dengan isu agama dan bangsa yang sangat menyakitkan mata dan memedihkan telinga. Sampai bila kita ingin hidup begini?

Lupakah kita telah merangka satu pelan yang disebut Rukun Negara apabila kita bertelagah dalam peristiwa berdarah 13 Mei 1969 dahulu? Tidak ingatkah kita betapa terbukanya kita untuk menerima kepelbagaian kaum dan etnik daripada Sabah dan Sarawak suatu masa dahulu untuk kita berdiri sebagai Malaysia? Atas semangat kerjasama antara kaum dalam menuntut kemerdekaan inilah yang telah membolehkan kita menggubalkan Perlembagaan yang diterima pakai sampai saat ini.

Jika dulu kita mampu, kenapa tidak sekarang? Jika kerajaan puncanya kita berubah, Perdana Menteri kita masih individu yang sama. Kita terlalu banyak mencipta alasan untuk tidak bersama. Sudah hilangkan rasa bersatu dalam hati kita? Tidakkah kita rindu suasana perayaan pelbagai bangsa yang kita pernah kongsi beberapa ketika dahulu. Gong Xi Raya, Deepa Raya, dan sebagainya. Tidakkah kita rindu melihat kita semua di kedai makan yang sama, tanpa sengketa dan buruk sangka?  Marilah kita sama-sama jadikan isu yang terkenal di akhbar ialah isu meraikan muhibbah. Warnakan Malaysia yang ada sekarang dengan semangat kekitaan, roh kekeluargaan dan lukisan keharmonian. Kerana apalah ertinya hidup berbilang bangsa tetapi tidak bersama. Untuk apa, berada di tanah yang sama tetapi asyik bersengketa dan bermasam muka.

Sudah tiba masanya, kerajaan hari ini merancakkan semula agenda perpaduan. Jika tidak mahu teruskan dengan ideologi baharu, kita kekalkan semangat persaudaraan dengan falsafah kebangsaan yang kita miliki. Mungkin lebih molek sekiranya kita jadikan Rukun Negara sebagai roh perpaduan kita. Rukun negara apabila dihayati daripada aspek matlamat dan prinsipnya, jelas sekali ia dicipta untuk menyatupadukan kita semua rakyat Malaysia. Apa sahaja langkah yang boleh diambil oleh mana-mana pihak, samada kerajaan, swasta ataupun NGO, ia haruslah bersifat inklusif. Keadaan kita hari ini secara luarannya, kita cuma seperti kenalan sesama kita, bukan lagi bersaudara seperti dahulu. Semoga perpaduan Malaysia, akan kembali luhur dalam kalangan rakyat Malaysia.

Image source: www.freemalaysiatoday.com 

 

Recent Posts