Sindrom bisu cetus feudalisme baharu

PRESIDEN Gerakan Keadilan Sedunia (JUST), DR. CHANDRA MUZAFFAR, 71, antara tokoh awal yang mengkritik secara berterusan terhadap penyelewengan dana 1MDB sejak 2015 lagi.

“Jelas sesuatu yang tak kena pada tempatnya telah berlaku dan kita kena membetulkan keadaannya. Kita minta Perdana Menteri bertindak! Ketika itu saya nampak 1MDB akan jadi satu masalah besar kepada negara,” katanya yang telah menulis sebanyak 18 artikel tentang 1MDB bermula dari Februari 2015 sehingga penghujung 2017.

Semasa diwawancara oleh wartawan Mingguan Malaysia, SAHIDAN JAAFARdan AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI serta jurufoto MOHD NAJIB MOHD NOR, beliau yang juga Pengerusi Yayasan Harapan mengakui kesal kerana sindrom bisu dalam kalangan ahli politik, penjawat awam dan swasta telah menyebabkan wujudnya psikologi feudalisme baharu.

MINGGUAN: Bagaimana pandangan Dr. Chandra mengenai langkah kerajaan PH menangani skandal 1MDB, mengheret aktor yang terlibat dalam penyelewengan dana 1MDB dan konco-konconya? 

DR.CHANDRA: Kerana 1MDB isu yang utama dalam PRU-14 dan kerajaan baharu telah pun memberi komitmen kepada rakyat jelata bahawa mereka akan menyelesaikan isu ini kerana isu inilah yang menyumbang kepada penderitaan rakyat dari satu segi, soal hutang menjadi bebanan kepada ekonomi kerana kerajaan baharu PH telah memberi satu jaminan kepada rakyat, mereka harus memberi keutamaan kepada isu ini. Segala-gala yang berlaku sejak mereka memegang tampuk kepimpinan iaitu mereka membawa kes mengheret individu-individu tertentu ke mahkamah sesuatu yang perlu dan penting yang harus berlaku.

Saya pernah menulis sebelum ini bahawa ini perlu berlaku juga termasuk mengheret bekas Perdana Menteri dan isterinya ke mahkamah serta masih mencari Jho Low (Low Taek Jho) yang merupakan pelaku utama dalam skandal 1MDB.

Ini penting perlu berlaku kerana ini satu bentuk dalam bahasa Inggeris, perkataan yang saya pernah gunakan catharsis (katarsis). Katarsis itu seperti kita membersihkan jiwa kita sebagai negara, sebagai bangsa. Kita perlu ini bahawa yang menyeleweng tak kira apa jawatannya, tak kira betapa tinggi kedudukannya, akan menghadapi hukuman yang setimpal dengan perbuatannya. Itu yang saya maksudkan dengan katarsis.

Kita perlu proses macam ini sebagai satu negara, satu bangsa supaya kita benar-benar memahami apa itu amanah dalam masyarakat dan betapa pentingnya prinsip amanah ini. Dan mungkin sebagai sebuah negara yang 60 peratus penduduknya beragama Islam, ini bukan sesuatu yang sukar difahami yang dimaksudkan amanah dari segi inti falsafah agama kita. Tetapi yang sedih, kita tengok beberapa negara penduduknya Islam ini tak berlaku.

Konsep amanah ini walaupun ada dalam agama kita dari segi teorinya tetapi dari segi praktiknya (amalan), hanya segelintir negara yang majoriti penduduknya Islam yang benar-benar mendukung prinsip ini – prinsip amanah dari segi integriti, amanah, dari segi amalan. Itulah sebabnya saya menganggap satu proses yang perlu untuk mempertingkatkan kredibiliti kita sebagai sebuah negara yang menghargai amanah, sebagai sebuah negara yang benar-benar menghayati prinsip-prinsip pemerintahan governance yang termaktub dalam Islam.

Suatu ketika dulu, Dr. pernah menyarankan supaya ahli politik dan penjawat awam menjauhi ‘sindrom bisu’ bagi mengelakkan berlakunya satu lagi malapetaka seperti 1MDB. Boleh Dr. jelaskan?

DR.CHANDRA: Ya sindrom bisu ini sebenarnya dipengaruhi oleh beberapa faktor antaranya kerana pihak-pihak yang terlibat mereka menjaga kepentingan masing-masing. Itulah satu faktor yang membawa kepada sindrom bisu ini.

Maknanya ahli-ahli politik menjaga kepentingan masing-masing, begitu juga dengan penjawat awam dan beberapa pelaku politik dan pentadbir yang lain mungkin termasuk ahli-ahli bank, akauntan-akauntan, dan pihak-pihak lain yang terlibat dalam skandal.

Selain menjaga kepentingan masing-masing, satu lagi faktor yang membawa kepada sindrom bisu ini dalam masyarakat kita ialah apa yang kita pernah sifatkan sebagai ‘psychology new feudal’ (psikologi feudalisme baharu) yang kita ikut pemerintah atau yang berkuasa.

Kita tidak mahu mempersoalkan mereka kerana kita menganggap itu sebagai bukti kesetiaan kita kepada mereka. Walhal kesetiaan yang sebenar, kesetiaan yang tulen adalah menegur pihak yang menyeleweng seperti Saidina Abu Bakar Al-Sidek yang dilantik sebagai Khalifah Islam pertama ketika beliau berdepan dengan khalayak ramai.

Ucapan beliau yang begitu masyhur dalam sejarah dan yang sebenarnya dari segi psikologi beliau meruntuhkan konsep feudal ini. Beliau pernah berkata: “Kesetiaan kepada saya bermakna, rakyat kena tegur sekiranya saya menyeleweng, sekiranya saya menyimpang daripada prinsip-prinsip Islam. Itulah kesetiaan yang sebenar”.

Tetapi sekiranya kita menyembunyikan sesuatu daripada pemerintah bermakna kita mengkhianti pemerintah. Kita sebenarnya menderhaka, kerana kita menyembunyikan sesuatu, kerana kita tidak mahu berterus terang dengan pemerintah.

Itulah prinsip Islam sebenarnya. Tapi apa yang kita ikut selama ini sebenarnya lebih merupakan sikap feudal, bukan sikap Islam yang sebenarnya. Sebab itulah saya berpendapat kita harus mengatasi sikap ini (sindrom bisu).

Memang benar, dalam tempoh 60 tahun merdeka kita telah pun mengatasi aspek-aspek tertentu dalam sikap ini melalui proses demokrasi. Melalui proses persaingan antara parti sedikit sebanyak kita dapat melalui sistem pendidikan, melalui mobiliti sosial, kita sudah mengatasi sedikit. Tetapi masih wujud, sikap ini.

Itulah sebabnya, bila kita tak setuju dengan sesuatu dalam mesyuarat kita tak buka mulut, lepas mesyuarat kita sibuk buat macam-macam komen tapi tidak depan individu itu.

Di mana-mana saya nampak benda ini berlaku misalnya di universiti. Saya begitu lama di universiti dulu. Dalam kalangan penjawat-penjawat awam, sektor swasta pun sama. Kita harus atasi sikap ini.

Mungkin, dalam kalangan media pun tak berani bersemuka, walhal ada peluang untuk menegur dan ini sesuatu didorong dan digalakan dalam falsafah agama kita, agama Islam. Ya kita bersemuka berterus terang, secara diplomatik, secara halus, bersopan. Itu yang kita tegaskan, kita tegur secara sopan. Tetapi kita tak melakukannya.

Akhirnya, jadi macam masalah 1MDB, dan ada yang begitu bijak dalam Kabinet (tak perlu sebut namanya) ambil sikap untuk berdiam diri. Sekiranya mereka menyuarakan pendapat mereka pada masa tertentu dan ada teman atau rakan yang menyuarakannya dan sekiranya mereka sokong, mungkin keadaan kita tidak sampai kepada tahap ini. Itu kesilapan yang amat dikesali.

Sebenarnya ramai juga yang mengkritik, saya antara yang mengkritik dari awal lagi. Ketika itu saya nampak 1MDB akan jadi satu masalah besar kepada negara. Saya tulis sebanyak 18 artikel tentang 1MDB dari Februari 2015 sehingga hujung 2017.

Artikel pertama yang saya tulis pada bulan Februari 2015, artikel pertama mengkritik 1MDB. Saya tegur secara bersopan, Saya kata: “Jelas sesuatu yang tak kena pada tempatnya telah berlaku dan kita kena membetulkan keadaannya. Kita minta Perdana Menteri bertindak”.

Bagaimana Dr. melihat UMNO sebagai sebuah parti Melayu yang dominan kini sedang menghadapi saat-saat kejatuhan apabila gagal memenangi hati rakyat?

DR.CHANDRA: Masalah yang dihadapi UMNO ialah apabila kita memahami dari segi sejarah pertubuhan, pergerakan, dan kerajaan, pada peringkat awal mereka berpegang kepada nilai-nilai murni. Ini menjadi kekuatan mereka.

Tetapi selepas beberapa tahun berkuasa, kerana lama berkuasa mereka mula menyeleweng dan menyimpang daripada prinsip-prinsip asal itu. Ini yang dibincang oleh ahli sejarah terkemuka yang dianggap sebagai tokoh sosiologi teragung, Ibnu Khaldun (Abdul Rahman Ibnu Muhammad Ibnu Khaldun) yang hidup pada 1332 hingga 1406.

Ibnu Khaldun berhujah, pada peringkat awal mereka yang berkuasa, kerana berpegang kepada nilai-nilai murni dan setia kepada perjuangan, maka mereka dapat berkuasa dan sokongan daripada rakyat.

Tetapi selepas itu apabila mereka mula menyeleweng, mereka akan merosot. Kata Ibn Khaldun, biasanya 30 tahun. Tapi UMNO lebih lama iaitu 61 tahun.

Memang kalau kita tengok UMNO pada peringkat awal, pengorbanan pemimpin-pemimpin terdahulu seperti Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Tun Abdul Razak Hussein, mereka sanggup menjual tanah dan rumah kerana mereka percaya pada perjuangan.

Tapi apabila kita tengok kebelakangan ini, ia sangat menyedihkan. Bermula 1980-an begitu banyak peluang ekonomi dan mungkin kerana tak dapat mengawal nafsu, itu yang menjadi masalah.

Apa yang berlaku kepada UMNO bukan sesuatu yang tidak pernah berlaku. Tapi saya sedih kerana UMNO seperti tidak ada iltizam kuat untuk mengatasi kemelut dihadapi.

Disebabkan sudah terbiasa dengan kuasa, nampak macam UMNO mencari jalan pintas untuk kembali berkuasa.

Kalaupun kita tengok satu contoh parti lain yng tumbang selepas berkuasa begitu lama, seperti LDP di Jepun, LDP tak bergabung dengan parti lain tetapi cuba memperbaiki kedudukan dan merawati kelemahannya. Tetapi UMNO belum ada tanda-tanda yang menunjukkan ia dapat mengatasi kemelut dihadapi.

Pada pengamatan Dr. dalam keadaan sekarang, mampukah UMNO bangkit kembali?

DR.CHANDRA: Dalam keadaan sekarang, sekiranya ada iltizam dan mereka benar-benar berazam untuk memulihkan parti, saya rasa tidak sukar. Ini kerana ada parti-parti lain dalam keadaan sama di negara lain. Tetapi dalam keadaan dewasa ini, UMNO mungkin tak dapat mengatasi kemelut dihadapinya.

Soal perpaduan Melayu muncul semula selepas UMNO kalah. Masih relevankan Kerajaan Perpaduan yang dibincangkan antara UMNO dan Pas?

DR.CHANDRA: Untuk bergabung atau bekerjasama, kita harus tanya apakah asas perpaduan mereka? Itu yang penting. Sekiranya mereka hendak bekerjasama kerana hendak mempertahankan integriti masyarakat Melayu dan kemuliaan Islam, soalan yang lebih penting mereka harus tanya, macam mana kita hendak mempertahankan dua perkara itu sekiranya kita tidak mahu berdepan soal rasuah, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya.

Simbolik, substantif

Apakah yang dimaksudkan dengan integriti bangsa dan kemuliaan agama? Apa gunanya kemuliaan Islam sekiranya kita tidak sanggup membebaskan diri daripada gejala-gejala seperti rasuah. Tidak ada langkah-langkah proaktif.

Kalau kita hendak bersatu padu kerana hendak mempertahankan bahasa, bangsa dan agama, itu sebenarnya sudah ada dalam Perlembagaan. Saya setuju kita ambil langkah-langkah untuk mempertingkatkan penggunaan bahasa Melayu, kedudukan Islam dan sebagainya.

Tetapi pada hemat saya, kalau kita buat hanya ini dari segi kulit, tidak bermakna. Yang penting isinya. Itu yang menjadi persoalan besar bagi saya apa pengisiannya dari segi kepimpinan, program, dasar. Apabila UMNO dan Pas bekerjasama, apakah akan memastikan akauntabiliti meningkat?

Apakah mereka akan mencadangkan idea-idea baharu untuk merapatkan jarak ekonomi antara kaya miskin. Sebahagian besarnya (miskin) adalah daripada masyarakat Melayu. Apakah langkah-langkahnya? Setakat ini tidak ada apa-apa. Mereka membangkitkan isu-isu misalnya tidak bersetuju dengan pelantikan seseorang. Mereka membangkitkan soal agama dan keturunannya. Bagi saya, itu bukan isu pokok.

Apa pandangan Dr. tentang peralihan kuasa dan gabungan antara Dr. Mahathir dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas sekian lama bersengketa?

DR.CHANDRA: Yang kita dimaklumkan, peralihan kuasa ini satu perjanjian yang dipersetujui antara dua individu dan dalam kalangan empat parti. Saya berpendapat kita harus berpegang pada perjanjian kerana itu satu satu prinsip yang penting. Kita mesti melaksanakan perjanjian itu.

Harapan saya, gabungan Dr. Mahathir dan Anwar dapat memberi tumpuan kepada beberapa cabaran besar yang kita hadapi sekarang dan beberapa tahun akan datang.

Pertama, soal amanah dan integriti. Kita mesti memulihkannya dan tidak boleh di kesampingkan. Kita tahu ini satu penyakit yang sudah sampai pada satu tahap begitu serius.

Bagi memulihkan keadaan ini bukan mudah dan merupakan antara cabaran besar. Saya harap Anwar akan meneruskan program ini. Saya sendiri rasa lega bahawa Dr. Mahathir kali dua sebagai Perdana Menteri, beliau mengambil beberapa langkah penting berbanding ketika beliau berkuasa selama 22 tahun dahulu.

Saya nampak dalam beberapa bulan ini sejak beliau berkuasa Mei lalu, Dr. Mahathir cuba mempertingkatkan akauntabiliti dan konsep amanah daripada benda-benda yang simbolik kepada benda-benda yang substantif.

Contohnya, dalam surat menyurat daripada “Saya menurut perintah” kepada “Saya yang menjalankan amanah”. Saya bersetuju kerana ia akan menyerapi ke dalam jiwa penjawat awam. Saya berpendapat sektor swasta pun harus memasukkan idea ini dalam surat-menyurat dan cara menjalankan tugas.

Walaupun cuma simbolik, amanah adalah satu konsep yang begitu mendalam maknanya. Jauh lebih mendalam daripada istilah integriti. Amanah adalah anugerah Ilahi dan kita harus menjalankan amanah kita.

Jadi, dari segi simbolik, Dr. Mahathir sudah mula mengambil langkah-langkah tertentu.

Dari segi substantif pula, contoh yang paling menarik pada hemat saya, pada 2005, kerajaan Tun Abdullah Ahmad Badawi bersetuju mendirikan satu suruhanjaya diraja untuk mengkaji tingkah laku polis. Suruhanjaya ini mengesyorkan satu badan bebas ditubuhkan untuk siasat tingkah laku polis dan mengambil tindakan kerana begitu banyak aduan daripada orang ramai.

Dr. Mahathir baru-baru ini buat pengumuman bahawa syor itu telah diterima oleh Kabinet dan akan dilaksanakan.

wBegitu juga dengan pelantikan-pelantikan penting seperti jawatan Ketua Audit Negara, Ketua Akauntan Negara, ahli-ahli jawatankuasa yang melantik hakim-hakim di peringkat atas bukan melalui Perdana Menteri semata-mata. Tetapi mereka harus bentangkan nama-nama kepada Parlimen, perlu dapat restu Parlimen. Maksudnya, pelantikan hakim perlu direstui rakyat.

Selain itu, Ombudsman juga satu idea bagus. Idea itu sebenarnya mula dicadangkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak pada awal 1970-an tetapi ada pihak yang kurang senang dan tidak mahu dengan ombudsman.

Ini kerana menerusi sistem ombudsman sekiranya ada aduan bukan sahaja melibatkan penjawat awam, menteri atau sesiapa sahaja, harus disiasat dan sekiranya tindakan tidak diambil, kita harus maklumkan kepada khalayak ramai kenapa kita tidak bertindak.

Jadi, harapan saya agar Saudara Anwar dapat meneruskan usaha-usaha ini termasuk reformasi Parlimen dan had umur layak mengundi diturunkan.

Yang kedua, saya harap gandingan Dr. Mahathir dan Anwar boleh memberi tumpuan kepada soal perpaduan kaum kerana Malaysia adalah negara berbilang kaum. Kita kena memastikan asas perpaduan kita jelas dan jitu supaya semua faham.

Kita juga perlu mendidik masyarakat tentang Perlembagaan. Dalam Perlembagaan ada fasal-fasal tertentu berkait dengan sejarah dan evolusi masyarakat kita.

Itulah sebab bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan Raja-Raja Melayu dan sebagainya. Kalau kita faham perkara ini, saya fikir kita boleh mengatasi cabaran-cabaran lain tentang perpaduan.

Yang ketiga, satu cabaran lebih besar yang lebih luas daripada perpaduan iaitu pendekatan kepada Islam. Saya nampak Dr. Mahathir dan Anwar ada banyak persamaan dalam isu-isu tertentu yang timbul. Saya setuju konsep yang diperkenalkan sekarang iaitu Islam sebagai rahmatul alamin, kerana itulah intipati Islam.

Kalau boleh kita sampaikan ini secara praktikal supaya orang faham dan menjadi teladan kepada dunia bahawa inilah Islam yang belas ihsan.

Article also posted at Utusan Malaysia

Recent Posts
Contact Us

We're not around right now. But you can send us an email and we'll get back to you, asap.

Not readable? Change text.

Start typing and press Enter to search