Menguatkuasakan Kedaulatan Undang-undang

Penguatkuasaan dan mendaulatkan peraturan perundangan adalah satu harapan dalam legasi kepemimpinan Dr. Mahathir Mohamad. Seringkali kepentingan prinsip asas ini ditekankan oleh beliau semasa pemerintahannya sejak 10 Mei 2018 yang lalu. Tidak dinafikan, peraturan perundangan mampu membentuk ketamadunan sesebuah masyarakat dan telah menjadi teras dalam memperjuangkan hak kemanusiaan dan keadilan sosial sejak berkurun lamanya.

Peraturan perundangan bukan hanya berkisar tentang masyarakat yang terikat dengan undang-undang, malah keperluan perlaksanaannya yang adil dan saksama. Undang-undang tersebut perlu memelihara kesaksamaan dan maruah semua pihak. Apabila undang-undang diutamakan, tiada lagi ruang yang wujud untuk tindakan sewenangnya. Semua orang dari setiap pelosok negeri perlu memahami dengan jelas tentang maksud serta fungsi peraturan perundangan. Sayangnya, masyarakat Malaysia pada masa ini kurang faham tentang peraturan perundangan, walaupun perkara tersebut merupakan prinsip Rukunegara yang keempat.

Dalam usaha untuk memahami tentang peraturan perundangan, rakyat Malaysia perlu sedar bahawa peraturan perundangan tersebut juga berpotensi untuk diganggu gugat integritinya jika penyalahgunaan kuasa berlaku, tidak kira sama ada dalam kalangan pencipta, pelaksana atau penguatkuasanya. Dalam tahun-tahun yang sudah, semasa pemerintahan Najib Razak, individu-individu dan kumpulan-kumpulan tertentu daripada pelbagai lapisan masyarakat telah banyak menderita sebagai akibat penyalahgunaan kuasa yang telah diamalkan.

Seterusnya, perkara tersebut telah menjadi punca utama tentang pentingnya penyalahgunaan kuasa untuk dibendung dan terus dibasmi. Undang-undang yang memperuntukkan sesiapa sahaja yang memiliki kuasa eksekutif dan legislatif untuk mengisytiharkan harta mereka dalam bentuk aset dan liabiliti kepada umum, dan undang-undang yang mengawal selia kewangan parti-parti politik, merupakan antara mekanisme yang bakal dilaksanakan.

Dalam perkara ini, Perdana Menteri juga telah mengumumkan pada 11 September yang lalu penubuhan dua institusi yang penting dalam penyiasatan penyalahgunaan kuasa yang akan memanfaatkan rakyat biasa. Suruhanjaya Bebas Polis tentang Aduan terhadap Polis and Salahlaku Polis(IPCMC) merupakan syor yang paling bermakna daripada 125 cadangan dari Suruhanjaya diRaja yang ditubuhkan pada 2005 untuk menasihati kerajaan tentang keadaan polis. Namun, usaha penubuhan IPCMC gagal ekoran tentangan yang diterima daripada sesetengah pihak serta kekurangan iltizam politik pemimpin-pemimpin pada ketika itu. IPCMC

sepatutnya menyiasat dan mengambil tindakan ke atas korupsi yang berlaku dalam kalangan anggota polis, kesalahan jenayah yang melibatkan anggota polis, serta salahlaku yang lain. Hal ini kerana, salahlaku yang berlaku dalam kalangan anggota polis telah menjadi suatu kebimbangan. Ini menjadikan penglibatan badan bebas untuk menyiasat dan mengambil tindakan ke atas mereka sebagai satu keperluan. Kini, selepas 13 tahun, Dr. Mahathir telah mengambil langkah berani dalam menghidupkan IPCMC dan menjadikan badan berkenaan sebuah realiti. Inilah masa yang tepat untuk menyambut baik usaha tersebut dalam menyekat penyalahgunaan kuasa yang berlaku, termasuklah kes rasuah yang semakin meningkat saban hari. Kes-kes rasuah tersebut juga didakwa berupaya untuk mempengaruhi siasatan pihak polis dalam pelbagai hal, termasuklah penglibatan pengaruh luar yang membawa kesan negatif terhadap tingkah laku anggota polis tertentu.

Untuk salahlaku di luar bidang kuasa kepolisan, Dr Mahathir mencadangkan Akta Ombudsman yang mana pegawai awam akan bertindak untuk menerima laporan, menyiasat dan bertindak atas aduan penyalahgunaan oleh penjawat awam. Untuk meningkatkan keberkesanannya, latar masyarakat yang berbeza harus mempunyai ombudsman yang berbeza. Menariknya idea ini telah mula dicetuskan pada awal tahun tujuh puluhan oleh Perdana Menteri kedua iaitu Tun Abdul Razak Hussein. Kini diharapkan ia mula memancarkan sinar harapan dewasa ini.

Sejujurnya, tiada jaminan bahawa IPCMC dan Ombudsman akan muncul sebagai instrumen bebas yang berkesan untuk mencegah penyalahgunaan kuasa. Kebarangkalian akan wujudnya cubaan oleh penjawat awam yang merasakan ini mungkin melemahkan kebebasan mereka dan mengurangkan kekuatan mereka. Malahan mereka yang diberi tugas untuk merangka dasar pelaksaan sebenar instrumen ini akan cuba melewatkan pelaksanaannya dengan cara mencipta pelbagai alasan. Dalam erti kata lain, kita tidak boleh menolak bahaya sabotaj dalaman dari pihak yang terlibat secara terus.

Ini adalah satu ancaman yang jelas jika kita dapat kaitkan dengan kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Tun Daim Zainuddin , mungkin ada “api dalam sekam” dalam perkhidmatan awam yang membocorkan maklumat kepada orang-orang seperti Jho Low, yang dikehendaki oleh pihak berkuasa Malaysia dan negara-negara lain kerana peranan utamanya dalam skandal 1MDB. Apa yang dimaksudkan disini tindakan yang ditujukan terhadap pelaku kejahatan mungkin dilindungi oleh mereka yang diamanahkan dengan misi menjaga kesejahteraan masyarakat. Oleh itu sabotaj dari dalam adalah faktor yang harus dipertimbangkan dalam perjuangan untuk menegakkan kedaulatan undang-undang.

Secara jelasnya terdapat pelbagai sebab mengapa rakyat Malaysia yang berintegriti dan menghargai suara dhamir mereka harus tegas dan berani dalam memperjuangkan prinsip kedaulatan undang-undang dalam saat yang bersejarah ini.

Image source: https://www.sinarharian.com.my/

Recent Posts