Memperkasakan Rukunegara

Saya merujuk kepada rencana yang ditulis oleh Tan Sri Dr. Rais Yatim pada Mingguan Malaysia bertarikh 2 September 2018 yang bertajuk “61 Tahun Merdeka Apa?” Satu rencana yang bagus. Dalam rencana tersebut, beliau mencadangkan agar Rukunegara harus dan sesuai diletakkan sebagai mukadimah Perlembagaan Malaysia memandangkan perlembagaan kita tidak mempunyai mukadimah.

Untuk pengetahuan Tan Sri, inisiatif ini telah dicadangkan oleh beberapa individu yang terdiri daripada ahli akademik, peguam dan aktivis sejak Julai 2016. Kumpulan Rukunegara Mukadimah Perlembagaan (RMP) yang diketuai oleh Dr. Chandra Muzaffar telah melancarkan inisiatif tersebut pada 23 Januari 2017. Yayasan Perpaduan Malaysia (dahulunya dikenali sebagai Yayasan 1Malaysia) adalah sekretariat kepada kumpulan tersebut.

Rukunegara yang diisytiharkan oleh DYMM Yang diPertuan Agong yang keempat pada 31 Ogos 1970 sebagai falsafah kebangsaan dan kelima-lima cita-cita dan prinsip-prinsip Rukunegara sepatutnya dianggap sebagai pegangan bersama rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

Kumpulan RMP pada ketika itu berpendapat bahawa Rukunegara patut dijadikan sebagai Mukadimah Perlembagaan. Sebagai Mukadimah, lima matlamat Rukunegara akan dianggap sebagai matlamat nasional yang mencerminkan aspirasi rakyat kita. Lima prinsip Rukunegara pula akan diterima sebagai garis panduan yang menentukan pendekatan kita kepada matlamat nasional kita. Sekiranya Rukunegara diterima sebagai Mukadimah Perlembagaan, ia akan memiliki taraf undang-undang.

Namun demikian, inisiatif untuk menjadikan Rukunegara sebagai Mukadimah Perlembagaan telah mendapat tentangan daripada segelintir individu termasuk Tan Sri Rais Yatim. Pada Sidang Meja Bulat anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), beliau mengatakan bahawa tidak perlunya Rukunegara dijadikan sebagai Mukadimah berikutan Perlembagaan Persekutuan telah menjadi asas perundangan negara sejak sekian lama. Beliau mencadangkan agar diwujudkan Akta Khas Rukunegara untuk mengukuhkan kedudukan Rukunegara.

Tidak lupa juga sokongan yang diterima daripada individu-individu dan organisasi-organisasi sepanjang tempoh kempen dijalankan. Daripada maklum balas yang diterima, kami dapat membuat kesimpulan bahawa rakyat Malaysia mahu Rukunegara diperkasakan kedudukannya daripada dijadikan Mukadimah di dalam Perlembagaan. Mereka mahu dua naskhah utama ini dikekalkan sebagai dua naskhah yang memiliki identiti masing-masing. Majlis Raja-Raja menerusi kenyataan rasminya pada 10 Oktober 2017 telah menekankan bahawa perlunya Rukunegara sebagai pedoman dalam memupuk perpaduan kaum.

Kumpulan RMP pada 10 Julai 2018 telah menulis surat kepada semua 222 Ahli Parlimen untuk mendapat sokongan untuk sebuah resolusi dalam Dewan Rakyat yang mengisytiharkan Rukunegara sebagai ideologi kebangsaan yang harus menjadi pegangan dan kompas pedoman oleh semua pihak.

Akhir sekali, harapan disandarkan terhadap Malaysia yang dipimpin oleh sebuah kerajaan baru yang jelas dengan hala tuju negara, lima cita-cita dan lima prinsip-prinsip Rukunegara dapat mengulangi kemegahannya sepertimana ia diisytiharkan pada tahun 1970.

Image source: https://”https://zulzaidi.blogspot.com”

Recent Posts