Malam sebelum merdeka ada detik mengira sepuluh saat terakhir sebelum mercun api dibakar dan laungan 7 kali merdeka diteriakkan. Tetapi sepuluh hari sebelum merdeka apa yang kita buat? Kita semua sudah bersedia daripada segi persiapan sambutan kemerdekaan. Rumah-rumah telah dipasang bendera. Kereta-kereta megah berkibar jalur gemilangnya. Di Dataran Merdeka, persiapan perbarisan dan perarakan tidak kurang sibuknya. Masing-masing ingin memastikan sambutan kemerdekaan pada tahun ini akan berlangsung dengan jayanya.

Tetapi, adakah perkara ini sama seperti apa yang berlaku pada ketika pengisytiharan kemerdekaan dilaungkan pada tanggal 31 Ogos 1957? Adakah persiapannya sama seperti kita pada hari ini? Mengimbau kembali 10 hari sebelum merdeka maka kisah ini ditulis dan dirakamkan untuk memberi pengajaran dan tauladan kepada yang membaca coretan ini.

Pada tanggal 20 Ogos 1957, seorang leftenan telah memahat namanya sebagai seorang perwira bangsa. Leftenan tersebut, tidak lain tidak bukan ialah Leftenan Hassan yang sedang bertugas menjaga keamanan Tanah Melayu pada ketika itu. Ketika itu, platun 12 Kompeni D , 5 RAMD telah ditugaskan untuk membuat pengawasan di kawasan rondaan Kompeni C, 6 RAMD  iaitu di Rawang. Platun ini telah membuat risikan yang teliti tentang pergerakan komunis yang sedang merangka suatu serangan hendap  terhadap majlis pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu.

Sebaik sahaja maklumat tersebut diperolehi, Leftenan Hassan terus meminta kebenaran untuk melakukan risikan bagi menggagalkan usaha komunis ini. Leftenan Hassan bersama dengan anggotanya telah ke Ladang Getah Waterfall untuk meninjau pergerakan bintang tiga ini dan ternyata sememangnya wujud pergerakan komunis di kawasan berkenaan. Setelah membuat segala persediaan, Leftenan Hassan bersama semua anggotanya telah bersedia untuk membuat serang hendap melalui kawasan berpaya pada tarikh 21 Ogos 1957, 10 hari sebelum merdeka.

Tinjauan awal membawa kepada penampakan seorang komunis wanita menuju ke kawasan serang hendap. Leftenan Hassan melarang tembakan dilepaskan terhadap wanita tersebut atas alasan mungkin akan menyedarkan komunis lain yang berada disekitar. Beberapa ketika selepas itu muncul pula seorang lagi anggota komunis lelaki bergerak ke kawasan paya untuk membasuh muka. Jumlah yang sedikit ini menggusarkan Leftenan Hassan kerana pada hematnya terdapat ramai komunis. Lantas, Leftenan Hassan mengambil keputusan mengekori kedua-dua pengganas komunis tersebut.

Sejurus selepas itu, pengganas komunis tersebut telah bertemu seorang lagi pengganas komunis yang membawa bek, pek, dan senjata yang ditinggalkan di pangkal pokok di lereng bukit. Leftenan Hassan lantas mengarahkan beberapa orang anggota untuk mengawasi barang  yang ditinggalkan dan yang lain bersama dengannya terus mengekori komunis tersebut.

Daripada jauh, Leftenan Hassan melihat sekumpulan penoreh getah (berpakaian seperti penoreh getah), menuju ke komunis tersebut. Menyedari bahawa bahaya yang bakal menimpa penoreh getah itu, Leftenan Hassan telah melepaskan tembakan kepada salah seorang komunis tersebut. Dua orang komunis tadi melarikan diri semula ke tempat mereka meninggalkan barang di lereng bukit. Kumpulan penoreh getah tersebut juga melarikan diri.

Melihat kumpulan penoreh getah tersebut melarikan diri Leftenan Hassan sedar rupanya kumpulan penoreh getah itu bukanlah penoreh getah tetapi pemimpin komunis dari seluruh Tanah Melayu. Pemimpin Komunis ini datang untuk satu mesyuarat berkenaan satu cubaan mensabotaj pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu.

Siasatan yang dilakukan terhadap barang yang ditinggalkan telah menemukan Leftenan Hassan dengan bekalan makanan, barang kemas, duit dan dokumen bertulis  yang mengandungi Rancangan Komunis untuk menggagalkan majlis pengisytiharan kemerdekaan. Penemuan barangan ini telah membawa kepada tertangkapnya 35 orang pengganas komunis yang cuba membuat onar 10 hari sebelum kemerdekaan diisytiharkan. Ini adalah kisah sejarah yang bukan sekadar kita baca untuk mengisi masa lapang. Ini adalah kisah untuk kita bermuhasabah diri.

Sepuluh hari sebelum merdeka, pada tahun ini, adakah kita mampu menjamin bahawa tiada anasir luar yang akan mensabotaj sambutan kemerdekaan kita? Adakah kita yakin bahawa mereka yang berbaju biasa, berwarna kuning mahupun merah adalah orang Malaysia yang tidak akan membawa kacau bilau ke dalam sambutan kita? Sejarah telah mengajar kita untuk lebih berhati-hati dan sayangkan ibu pertiwi. Pada tahun ini, DAESH dan militan telah pun tiba di tanah air merdeka ini. Ditambah pula dengan mereka yang secara sengaja gemar membuat onar. Siapa yang boleh jamin kemerdekaan kita pada tahun ini, kemeriahan dan sambutannya megah dan ceria seperti sebelumnya.

Mengambil iktibar dan kecekapan Leftenan Hasan, harapan kini dibahu pihak berkuasa tempatan dalam memastikan sambutan kemerdekaan pada tahun ini akan berjalan semeriah dan sepatriotik sejak tahun 1957 hinggalah sekarang. Harapan juga kepada semua rakyat Malaysia agar mempunyai kecintaan yang tinggi terhadap kemerdekaan negara dan tidak melakukan perkara yang boleh menjadi sejarah hitam dalam sambutan sejarah kemerdekaan negara. 10 hari sebelum merdeka, semoga semangat patriotik ada dalam semangat setiap lapisan rakyat Malaysia. Sehati sejiwa.

Image source: freemalaysiatoday.com

Recent Posts