Kita sering mengharapkan bahawa kita sentiasa ada faktor menarik yang boleh membawa kita kearah perpaduan nasional yang lebih utuh. Kita bermimpi agar ada satu perkara yang boleh buat kita berkongsi rasa, bersama-sama percaya bahawa adanya alasan untuk kita lebih bersatu padu. Harapan itu, adalah untuk melihat sambutan perayaan kita disuntik dengan semangat kepelbagaian. Syawal yang kini menjelang penghujungnya secara jelas memperlihatkan bahawa perayaan kita kini tidak diserikan dengan perpaduan.

Situasi ini sangat berbeza jika dibandingkan dengan  sambutan perayaan  pada ketika dahulu. Daripada aspek sambutan sama ada di pasar-pasar penyediaan juadah perayaan, perang iklan televisyen, dan sambutan perayaan itu sendiri , dahulu sambutan perayaan disuntik dengan elemen perpaduan. Beli ayam untuk dibuat rendang juga sudah nampak multi etniknya. Tidak kurang juga meriahnya iklan perayaan dahulu kala yang menampakkan majmuknya masyarakat Malaysia.

Pada perayaan kali ini, raya seakan sepi, seakan disambut sendiri-sendiri. Raya ialah medan untuk masyarakat Melayu mempromosikan budaya kepada rakan berbeza agama dan budaya. Raya ialah tempat dimana kita duduk pelbagai bangsa menikmati juadah bersama. Raya mengeratkan hubungan persaudaraan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Perayaan ini suram dengan kisah raya bersama tiga bangsa, suram dengan cerita perpaduan dalam perayaan. Adakah kita sudah tidak kisah akan semangat raya bersama, atau raya bersama hanya kerana kita berkongsi perayaan yang rapat tarikhnya sahaja?

Di zaman peranti mudah alih kini bagai cendawan yang tumbuh kita seharusnya dapat melihat lebih banyak gambar perayaan yang pelbagai bangsa, malangnya perayaan kali ini suram tanpa kisah 3 bangsa. Adakah ini petanda bahawa semangat 1 Malaysia kini sudah semakin kritikal dan tidak lagi didendangkan dalam perayaan kita ?

Sebenarnya kita sudah terlalu sibuk dengan pelbagai isu yang terlalu banyak. Sebelum syawal lagi, kita sudah mendapat berita kurang enak yang melibatkan perpaduan. Pembatalan program berbuka puasa anjuran gereja yang dibatalkan pada saat akhir telah membuat kita seakan takut untuk berprogram bersama kaum lain. Keterbukaan kita, sedikit demi sedikit sedang dikoyakkan. Kita semakin tidak berani untuk hidup bersama kerana takut dikecam oleh mereka yang gemar menggunakan alasan agama.

Selain itu, kita juga sibuk dengan pelbagai isu yang menjejaskan semangat raya kita. Kebanyakan berita yang menjadi polemik pada masa kini hanyalah kebencian demi kebencian yang hanya membawa kepada kehancuran. Hatta daripada isu fitnah terhadap seorang ustazah daripada ibu bapa yang anaknya konon ditampar sehingga koma, hinggalah ke isu kehadiran artis pop Selena Gomez yang dikatakan mencemarkan negara Malaysia yang berpegang teguh pada prinsip Rukunegara ‘Kepercayaan Kepada Tuhan’. Kehadiran seorang artis juga dimanipulasi dengan bersungguh-sungguh seolah-olah ia sangat penting dalam kehidupan masyarakat Malaysia.

Dalam semangat syawal ini juga, kita tidak sibukkan diri kita dengan rumah terbuka, bermaaf-maafan sesama kita, mengunjungi sahabat lama, beraya bersama kaum India dan Cina. Sebaliknya, para elitis lebih gemar berfokus kepada isu yang remeh. Misalnya isu aplikasi Pokemon Go yang sedang dibahaskan halal haramnya dalam Malaysia. Kita juga sedang berhadapan dengan isu kleptokrasi yang membangkitkan lagi beberapa isu lain yang membabitkan kebencian sesama kita. Maka hilanglah nikmat perayaan yang seharusnya diisi dengan gelak ketawa dan senyuman mesra.

Pada perayaan hari ini, berbaki kurang 10 hari, ayuhlah kita manfaatkan untuk mencari kembali semangat perpaduan yang hilang dalam komuniti. Sebesar mana pun isu yang sedang kita hadapi, seharusnya kita harus sama-sama menyedari bahawa dalam semangat syawal ini, kita perlu sentiasa hidup dalam keadaan harmoni. Sebagai rakyat yang penuh semangat jati diri dan ingin hidup dalam keadaan harmoni, kita bertanggungjawab mempertahankan integrasi yang kita miliki. Perpaduan adalah semangat yang sentiasa perlu ada dalam diri kita. Semoga perayaan yang seterusnya akan menjadikan kita lebih berintegrasi daripada sebelum ini.

Image source: www.wired-destinations.com

Recent Posts