Ramadan itu, pada awalnya ialah rahmat, ditengahnya ialah maghfirah yakni keberkatan dan penghujungnya pembebasan daripada api neraka.

Kita telah melepasi sepuluh hari yang pertama iaitu 10 hari berserta rahmat. Rahmat yang dijanjikan ini merangkumi ruang lingkup rahmat kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat, negara dan dunia. Di Malaysia, rahmat ini mungkin diperoleh kepada pertubuhan-pertubuhan kebajikan yang mula disuntik dana daripada dermawan-dermawan yang ingin bersedekah di bulan Ramadan. Rahmat juga dilimpahkan kepada peniaga-peniaga bazar Ramadan yang mencari rezeki di bulan yang mulia ini. Tidak ketinggalan juga rahmat yang hadir ke dua kawasan yang sedang dalam pilihan raya kecil di Sungai Besar dan Kuala Kangsar apabila hadirnya menteri dan ahli politik hadir membawa pelbagai insentif untuk menyemarakkan lagi hari pengundian. Rahmat juga kepada keluarga nelayan yang akhirnya dibebaskan dari tahanan Indonesia. Ini rahmat.

Namun begitu, dalam kita meniti bulan penuh kemuliaan ini, kita turut dicemari oleh beberapa peristiwa yang menghalang kita daripada terus dirahmati. Awal puasa kita dikejutkan dengan seorang syaitan bertopeng manusia bernama Richard Huckle yang telah mencabul ratusan kanak-kanak yang tidak berdosa. Penangkapan ini seterusnya telah menyingkap ramai lagi mangsa pedofil di Malaysia yang dibongkarkan oleh Syed Azmi dan Wardina Saffiyah, dua aktivis yang berpengaruh. Bulan di mana kita seharusnya mengawal nafsu telah menjadi bulan membongkarkan beratus malah mungkin beribu manusia yang tidak mampu mengawal nafsu serakahnya dan menjadikan kanak-kanak sebagai mangsanya. Sakitnya Malaysia pada hari ini!

Kedatangan rahmat pada bulan Ramadan, menjadikan kita berharap agar tiada kejahatan yang akan terus berlaku pada bulan mulia ini. Namun harapan Ramadan hanyalah sekadar sebuah dendangan. Ramadan masih menemukan Malaysia dengan masalah rasuah yang seakan-akan tidak pernah akan selesai. Hingga ke hari ini, kes rasuah masih dilaporkan sebagai berita utama dalam tabloid-tabloid harian. Isu penyelewengan tong gas petroleum cecair(LPG) dibongkarkan saban hari oleh media massa. Tambahan pula dengan isu rasuah yang membabitkan bekas ahli politik parti pembangkang, dan rasuah yang melibatkan isu pencerobohan tanah di Cameron Highland. Sampai bila kita harus bergelumang dengan masalah integriti  yang makin merunsingkan saban hari?

Kita selalu berharap agar Ramadan akan membolehkan Muslim mempromosikan agama dan sikap yang baik yang diajarkan Islam kepada penduduk beragama lain di Malaysia yang majmuk ini. Kesederhanaan, toleransi dan agama keamanan merupakan imej Islam yang seharusnya perlu ditonjolkan sepanjang bulan mulia ini. Tetapi di Malaysia, kita lebih cenderung mengambil pendekatan menghukum bukan muslim yang tidak menghormati bulan puasa dengan cara memberi saman kepada mereka yang tidak menutup aurat dengan sempurna dan tidak menghormati orang berpuasa yakni makan di tempat terbuka.

Persoalannya adakah Islam sebuah agama yang menghukum? Adakah iman seorang muslim yang berpuasa hanya setebal sebiji pau mahu pun vadey? Kita seharusnya tidak mengambil inisiatif menghukum sebaliknya mendidik. Rakyat Malaysia yang berbilang kaum khasnya bukan muslim sudah dididik dengan toleransi yang cukup untuk menghormati muslim yang berpuasa. Bukan sekadar tidak makan dan minum di depan saudara Muslim sebaliknya mereka turut sama berpuasa meraikan muslim. Jadi apa alasan kita untuk menghukum mereka? Tepuk dada tanya iman.

Rahmat dan keberkatan yang kita perolehi sepanjang Ramadan ini seharusnya menjadikan kita lebih bersyukur dalam setiap perkara. Tetapi bersyukurkah kita apabila jumlah makanan yang dibazirkan ketika bulan puasa melebih 15000 tan metrik sehari banyaknya? Bersyukurkah kita, apabila sebanyak 3000 tan makanan yang masih elok dan boleh dimakan menjadi sisa dan buangan merata? Sedangkan puasa dalam bahasa arab disebut sebagai shaum yang bererti menjauhkan diri dari sesuatu dan menahan diri tetapi kita langsung tidak menghayati bulan ini dengan makna demikian. Kita lebih teruja membalas dendam mengikut nafsu makan yang bersifat dunia. Adakah kita masih boleh berkata, ini rahmat sempena puasa. Kata kita, tidak habis tidak mengapa, setahun sekali cuma. Kita gagal.

Wahai rakyat Malaysia pelbagai bangsa, kita sedang dalam fasa kedua dalam Ramadan kali ini. Kita sedang dalam fasa maghfirah yakni keberkatan. Andai ada diantara kita yang telah terlepas rahmat, ini adalah peluang untuk kita mencari berkat. Jadikan fasa keberkatan ini untuk kita bermuhasabah diri menilai apa yang berlaku pada Ramadan ini. Pada Ramadan ini, jadikanlah kita golongan lelaki yang hebat mengawal nafsu berahi. Kembalikan kemanusiaan warga lelaki agar tidak bernafsu keji terhadap kanak-kanak mahupun golongan wanita yang sangat dikasihi nabi. Ambil peluang ini untuk kita didik kembali nafsu yang pernah memakan diri. Carilah berkat Illahi untuk kita kembali kepada fitrah lelaki yang bersifat menyayangi dan melindungi.

Pada fasa keberkatan ini juga kita harus sedar bahawa masalah utama kita ialah untuk memerangi rasuah. Rasuah kian menjadi barah kerana tamak dan rakusnya kita terhadap kekayaan dunia. Sedarlah bahawa rasuah akan menghalang kita daripada mendapat berkat. Jadikan Ramadhan ini sebagai titik noktah untuk rasuah. Daripada sekecil-kecil rasuah seperti memberi gula-gula kepada adik sebagai bantuan membelikan makanan tengahari ketika berpuasa hinggalah kepada rasuah yang menggula-gulakan penguasa hingga tergadai keamanan negara. Bila kita merasa cukup dan percaya bahawa keberkatan itu adalah pada rezeki yang halal maka berkat akan menjadi milik setiap insan yang memerangi rasuah.

Fasa maghfirah ini juga seharusnya mengingatkan kita kepada panduan kita sepanjang zaman. 17 Ramadhan yakni hari diturunkan Al Quran. Nuzul Quran. Kita seharusnya berbalik menginsafi semula rukun iman ketiga iaitu beriman kepada kitab (Al Quran).  Adakah al Quran mengajar kita untuk menghukum saudara kita yang beragama lain? Sedangkan Al Quran dengan jelas memeberitahu dalam surah al Hujurat ayat 13 mafhumnya :-

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).

Maka, berkenal-kenallah, dan sebarkanlah Islam dengan cara bukan menghukum. Peribadi seorang muslim adalah cerminan Islam, sebuah agama yang membawa keamanan. Kita hidupkan syiar Islam melalui agama yang baik dan semoga diberi keberkatan kepada semua umat manusia termasuk saudara kita yang berlainan agama dan bangsa.

Jadilah islam yang mensyukuri nikmatnya hidup. Syukur dengan apa yang ada. Belajarlah untuk tidak membazir sepanjang fasa kedua Ramadhan ini. Bersyukur akan mendatangkan keberkatan. Saat kita membuang terlalu banyak makanan tika berbuka puasa, kita menafikan hak saudara kita yang berbuka mungkin dengan setangkai kurma sahaja. Bersyukurlah dan buktikan bahawa Ramadan ialah bulan kita mampu mengawal nafsu makan. Semoga dalam syukur kita ada berkat kepada kita dan mereka yang lebih memerlukannya.

Akhir kalam, rebutlah peluang fasa kedua Ramadan ini untuk diri kita. Jika ada kesilapan kita pada awal Ramadan lalu maka ini peluang untuk kita meninggalkan silap kita. Biarlah Ramadan kali ini menjadi titik perubahan untuk kita mengawal nafsu diri, menjaga mata, menjaga hati, menyelesaikan isu integriti, bersifat lebih bertoleransi dan mendidik diri untuk mensyukuri nikmat yang dikecapi. Fasa kedua Ramadan, fasa rahmat kita jadikan sempadan, fasa maghfirah kita carilah keberkatan. Semoga amal ibadah kita akan melahirkan sebuah negara bangsa yang memberi nilai tambah kepada negara tercinta, negara Malaysia. Salam Fasa Kedua.

Image source: Flickr.com/Amin Fitri

Recent Posts