Kehadiran seorang tokoh agama dunia yang sedikit kontroversi akhirnya menampakkan beberapa sifat sebenar yang kita Malaysia (sebuah negara Kepelbagaian Agama ) dalam meraikan perbezaan agama. Suatu persoalan yang menarik untuk kita bincangkan dengan sedikit sengketa agama yang berlaku sekarang ialah, benarkah kita meraikan kepelbagaian agama di Malaysia?

Isu gelaran *syaitan* yang diberikan oleh Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Dr Ramasamy kepada Dr Zakir Naik yang kemudiannya dibalas dengan sebuah molotov yang dilemparkan kepada pusat khidmat beliau ialah contoh pertelingkahan agama yang minor. Ini ditambah dengan desakan daripada HINDRAF yang menghalang ceramah Dr Zakir Naik atas alasan akan mewujudkan sengketa perkauman khasnya daripada masyarakat beragama Hindu. Muncul persatuan-persatuan Islam yang bangkit menentang dengan menyatakan sokongan kepada Dr Zakir Naik untuk memastikan programnya dapat dijalankan walaupun pada mulanya dilarang oleh pihak polis nasional .

Ini bukanlah perkara pertama yang terjadi dalam masyarakat Malaysia yang mempunyai pelbagai agama. Sebelum ini, mereka yang beragama Islam sendiri pernah menyatakan perasaan marah mereka apabila satu forum anjuran Persatuan Kristian diadakan di UiTM Lendu Melaka. Program ini ditentang oleh masyarakat Islam atas alasan penganut agama Kristian  mempunyai agenda untuk memurtadkan masyarakat Islam di Malaysia.

Kisah agama lain yang pernah heboh dan menjadi isu ialah berkenaan binaan bumbung rumah yang mempunyai corak seakan-akan lambing salib. Isu ini dibangkitkan oleh rakyat sekitar kawasan perumahan baru tersebut dengan alasan ia mendatangkan ketidakselesaan kepada penduduk yang majoritinya beragama Islam. Isu ini pernah diulas oleh Menteri Belia dan Sukan dengan menyifatkan rakyat Malaysia terlalu banyak masa untuk isu remeh.

Jika ditambah dengan isu penukaran agama yang berlaku di Malaysia, khasnya yang melibatkan pertelingkahan kuasa Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah pula, kita memang jelas disajikan dengan hak penukaran agama anak yang harus mengikut ego ibu bapa mana yang lebih tinggi dalam memperjuangkan kesucian agama mereka. Anak-anak perlu mengikut agama yang ditentukan oleh ibu bapa mereka sepertimana dinyatakan dalam perlembagaan.

Seharusnya, sebagai seorang rakyat Malaysia, kita tidak patut mencari titik perbezaan yang mencetuskan pergaduhan. Kita adalah negara yang unik dengan kepelbagaian agama yang harus kita raikan. Kita harus sedar Malaysia diumpamakan sebagai pelangi, kepelbagaianlah yang menjadikan kita cantik. Kita bukan campur segalanya menjadi satu warna, sebaliknya kita tujuh warna yang mencantikkan suasana. Kita harus meraikan kepelbagaian agama yang menjadikan kita lebih memahami satu sama lain.

Berdasarkan beberapa kes ini, adakah kita sebenarnya negara yang meraikan kepelbagaian agama antara pelbagai kaum sesama kita? Kita tiada hak untuk menyalahkan agama itu sendiri, setiap orang diberi kebebasan beragama menurut perlembagaan negara. Adakah agama yang kita anuti menjadikan kita lebih suci daripada orang lain? Agama, yakni apa saja agama mengajar kita untuk menjadi lebih baik dan menghormati agama lain. Jangan terlalu taksub dengan agama sendiri hingga kita melebih-lebih mencaci dan menghina agama lain. Manusia berasa merekalah yang menjaga agama walhal agamalah yang sebenar-benarnya menjaga manusia. Saya akhiri artikel ini dengan Surah Al Kafirun ayat 1 hingga 6.

  1. Katakanlah (wahai Muhammad): “Hai orang-orang yang tidak beriman!
  2. “Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah.
  • “Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah.
  1. “Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat.
  2. “Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat.
  3. “Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku”.

Image source: www.expatgo.com

Recent Posts