“Seperti yang kita ketahui keadaan banjir di Sarawak agak teruk dalam masa 3 hari ini. Setakat ini kira-kira 7 ribu telah menjadi mangsa banjir. Namun ada perkara yang amat menyedihkan kita disebalik banjir ini, kerana media-media arus perdana dan stesen-stesen TV seperti tidak ambil endah banjir yang berlaku di Sarawak. Kalau ada pun mereka membuat liputan berita mungkin hanya sekitar 2 minit saja. Kalau negeri-negeri di Semenanjung Malaysia yang dilanda banjir, “arumbulak” kata orang Sarawak, setiap minit, setiap jam dan setiap hari mereka akan buat liputan berita. Dari situ sudah nampak berlaku double standard dan pilih kasih. Nasib baik ada laman sosial, kalau tidak mungkin rakyat Malaysia tidak tahu yang Sarawak sedang dilanda banjir besar tahun ini.”

‪#‎KamiMahukanKeadilan
‪#‎PrayForSarawak  

Dipetik daripada Page “KAMEK MIAK SARAWAK”

 

Pilih Kasihkah kita?

Sebuah luahan daripada sebuah akaun facebook biasanya akan dianggap sebagai satu luahan tanpa asas, tanpa bukti, dan tidak menunjukkan keadaan yang sebenar.  Begitu juga dengan akaun di atas. Walau bagaimanapun, setelah meneliti semula di portal berita, dan media cetak, luahan di atas seakan ada kebenarannya. Berita banjir di Sarawak seolah-olah sesuatu yang tidak menjadi keutamaan. Terdapat beberapa media cetak dan portal berita yang melaporkan tentang banjir di Sarawak tetapi dalam kolum yang kecil. Umum mengetahui tentang peristiwa banjir di Sarawak hanya melalui laman sesawang dan media sosial, itupun yang dilaporkan oleh mereka yang berasal dari Sarawak. Pilih kasihkah kita?

Menurut Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Sarawak Siti Huzaimah Ibrahim berkata kini terdapat 7,177 mangsa banjir daripada 1,822 keluarga di pusat pemindahan berbanding 7,636 daripada 1,917 keluarga malam tadi. Jumlah ini bukannya jumlah yang sedikit. Dimana rasa peduli kita terhadap hampir 8 ribu manusia di negeri bertuah ini. Pilih kasihkah kita?

Situasi ini jelas sekali berbeza dengan banjir yang melanda Pantai Timur pada suatu masa dahulu. Hampir setiap media melaporkan tentang banjir besar yang melanda negeri tersebut. Ramai pihak menyatakan keprihatinan mereka baik golongan menteri, syarikat-syarikat korporat dan badan sukarelawan. Kemusnahan harta benda, perkara ajaib ketika , dan kehilangan nyawa, segalanya dilapor dan diceritakan dengan penuh rasa kemanusiaan dan simpati. Tapi kenapa perkara yang sama tidak berlaku ketika banjir yang besar melanda Sarawak? Pilih kasihkah kita?

Tepuk dada tanya selera. Sarawak negeri terbesar di Malaysia ini perlu dibantu sebagaimana negeri-negeri yang lain. Hanya kerana Sarawak dipisahkan oleh Laut China Selatan, itu tidak menjadikan Sarawak kurang Malaysia. Sarawak juga Malaysia. Cubit peha kanan, peha kiri terasa jua. Bila saudara seagama sejauh Syria boleh kita titipkan doa dan kumpulkan bantuan untuk sama-sama meringankan beban, kenapa perkara yang sama tidak  boleh kita lakukan  untuk Sarawak Bumi Kenyalang. Pilih kasihkah kita?

Akhir kalam, Sarawak perlu diberi bantuan banjir sesegera mungkin. Sebagai negeri yang kaya dengan hasil bumi, negeri bumi kenyalang ini mampu menghadapi banjir tanpa bantuan mana-mana pihak pun sebenarnya. Walau bagaimanapun, di saat mereka menghadapi musibah, sokongan moral, keprihatinan kita dan sikap ambil berat terhadap mereka yang sedang dilanda kesusahan seakan ubat yang paling mujarab dalam memperlihatkan penyatuan dan perpaduan kita. Sikap sambil lewa dan tidak kisah kita hanya sekadar menambah luka terhadap saudara kita dengan nombor kad pengenalan 13 di tengahnya. Justeru, ayuhlah kita sama-sama menyalurkan sumbangan dan bantuan terhadap saudara kita di Sarawak yang sedang menghadapi musibah banjir. Sedikit dari kita besar maknanya untuk mereka. Lepas bah pasti ada yang berubah. Semoga warga Sarawak tabah.

Image source: www.wavespartnership.org

Recent Posts