Sekumpulan mahasiswa daripada Universiti Malaya mengunjungi Yayasan Satu Malaysia pada 12 Januari 2016. Mereka yang bergerak atas nama Persatuan Hindu Universiti Malaysia berkongsi tentang satu perjuangan mereka sejak 2011 iaitu sebuah perjuangan menyelamatkan generasi kaum India di sebuah Flat Taman Permata, Dengkil. Kesusahan dan keperitan hidup yang dialami oleh kaum India ini telah menjurus kepada masalah perlakuan sosial yang mengancam generasi muda di kawasan ini. Sejak 2011 mereka berada di sana, mereka telah cuba membantu melakukan beberapa inisiatif antaranya mewujudkan perpustakaan kecil, aktiviti sukan dan seni, dan pelbagai inisiatif lain untuk membantu mereka. Tujuan sebenar mereka ialah untuk menyelamatkan generasi muda ini daripada terjebak dengan gejala sosial yang dialami oleh generasi yang lebih tua daripada mereka.

Mendengar keluhan demi keluhan yang diluahkan mendorong Yayasan 1Malaysia untuk melihat permasalahan ini dengan lebih mendalam. Masalah yang dialami oleh penduduk di sini bukanlah semata-mata masalah etnik sahaja. Ia lebih melibatkan masalah kesengsaraan penduduk dan masalah sosial. Berdasarkan kes-kes lepas, sememangnya banyak aduan yang telah cuba disampaikan kepada pihak kerajaan khasnya dari organisasi yang mewakili Kaum India yang memperjuangkan keselesaan mereka sebagai penghuni kawasan ini. Kawasan tersebut yang majoritinya terdiri daripada kaum India sememangnya merupakan sebuah kawasan yang perlu diberi perhatian tambahan lagi ia berdekatan dengan Putrajaya, sebuah kawasan tumpuan kerajaan.

Antara masalah yang dihadapi disini ialah sistem saliran paip yang tidak bersih dan boleh mengundang pelbagai masalah kesihatan. Keduanya, langsung tiada Klinik 1Malaysia dan Kilinik Kesihatan Kerajaan yang menawarkan kos perubatan yang murah untuk penduduk sekitar ini. Disamping itu, kesempitan hidup yang dialami memperlihatkan bahawa golongan ini perlu dibantu dari segi ekonomi khasnya untuk membantu mereka hidup dengan lebih selesa.

Isu ini dibangkitkan bukanlah semata-mata untuk memenuhi kepentingan satu pihak sahaja. Ia lebih kepada terpanggil untuk menjalankan tanggungjawab sosial. Terdapat banyak lagi kawasan yang memerlukan bantuan dan perhatian daripada pelbagai pihak sama ada kerajaan mahupun badan-badan persatuan, tetapi fokus pada kawasan ini adalah kerana terasa bahawa tanggungjawab ini adalah tanggungjawab bersama.

Tidakkah kita terasa tersindir sebagai golongan yang mempunyai kuasa dan lebih berkemampuan untuk membantu membangunkan sesuatu kawasan bertindak lebih lemah daripada golongan mahasiswa yang telah berusaha membantu kawasan ini sejak beberapa tahun kebelakangan. Sememangnya tugas membantu masyarakat adalah tugas bersama tetapi seharusnya, pihak yang bertanggungjawab haruslah membantu lebih efisien berbanding mahasiswa yang berfokus kepada isu pendidikan sebagai beban utama. Pujian harus diberikan kepada Persatuan Mahasiswa Hindu Universiti Malaysia yang lebih jauh ke hadapan daripada beberapa institusi lain. Kini tiba masa untuk kita berganding bahu, bersatu atas kehendak saling ingin membantu untuk menyemarakkan lagi rasa kebertangunggjawaban dalam masyarakat yang berlainan bangsa dan suku. Semoga ada sinar terang untuk permata yang suram di Flat Taman Permata, Dengkil dan kawasan-kawasan yang senasib dengannya.

Image source: starproperty.my

Recent Posts