Sejak mutakhir ini setiap isu samada besar atau kecil akan menarik perhatian sebilangan besar masyarakat. Perbincangan akan berjalan rancak samada di rumah, tempat ibadat, kedai kopi malah lebih hebat di media sosial. Isu-isu berkaitan GST masih menjadi topik utama dimana pelbagai kekeliruan berlaku malah mencetus perbalahan di kaunter-kaunter bayaran di merata-rata tempat. Penyebaran fakta yang salah dan di reka cipta yang mengadu domba masyarakat di media sosial yang mengakibatkan perasaan tidak puas hati membuak-buak menghakis pemikiran rasional.

Penjelasan demi penjelasan membawa kepada lebih banyak persoalan yang merumitkan lagi keadaan. Keadaan sebegini amat tidak wajar dan perlu di tanggani dengan pendekatan empati. Kita perlu mendalami apakah yang menrungsingkan masyarakat dengan cuba merasai perit getir mereka agar dapat memberi jawaban kepada keperluan dan kehendak mereka yang sebenar.

Jika di lihat daripada keluh kesah masyarakat, kita dapat merumuskan bahawa mereka menghadapi kesukaran untuk menanggung kos kehidupan yang meningkat berbanding pendapatan yang ada. Ia lebih membebankan lagi kepada golongan miskin bandar yang terpaksa berhempas pulas suami isteri menjalankan beberapa kerja demi untuk menyara hidup keluarga dimana  anak-anak terpaksa di tinggalkan menumpang di rumah jiran yang kadang-kadang mengundang bencana kemalangan atau jenayah.

Masyarakat seperti merasakan terpinggir akibat perubahan yang mendadak desawarsa ini, yang meningkatkan lagi jurang kehidupan sedia ada. Yang kaya bertambah kaya dan yang miskin makin menderita. Jurang ini di khuatiri akan mengugat perpaduan yang sentiasa di cabar dari pelbagai arah samada dari sudut kaum, agama, sosio budaya dan ekonomi.

Akibat dari ketidak stabilan perasaan masyarakat ini, ironinya ia membawa sesuatu yang boleh di anggap positif dari sudut kesedaran dan keperihatinan mereka terhadap isu semasa. Isu semasa yang berkaitan secara lansung mahupun tidak langsung terhadap kehidupan harian mereka. Kita boleh melihat serta mendengar sendiri isu perbincangan di kalangan ahli  keluarga dimana isteri dan anak-anak membincangkan isu kenaikan harga barang, cuba memahami GST , isu 1 MDB, isu Hudud , Isu Jihad dan kekejaman ISIS, isu harga minyak dan kejatuhan nilai ringgit , perubahan cuaca dunia dan pelbagai isu lokal dan global malah topik kelulusan Akta Pencegahan Keganasan (POTA) dan Pindaan Akta Hasutan 1948 juga tidak terkecuali.

Sebagai contoh pindaan akta hasutan 1948 di lihat seperti satu pendekatan yang cuba mengekang hak bersuara yang termaktub di dalam perlembagaan negara. Ia membawa ketakutan kepada masyarakat terutamanya di media sosial yang sudah sekian lama mengecapi kebebasan tanpa sekatan dan kongkongan di alam siber sehingga mereka lupa bahawa ia bukanya kebebasan mutlak untuk mengadu domba dan menyebarkan fitnah secara berleluasa. Ia juga membataskan hujahan sesiapa sahaja terhadap fakta dan bukan khabar angin ataupun fitnah yang boleh menggugat perpaduan negara bangsa.

Pendekatan komunikasi yang effisien adalah amat perlu bagi memastikan kelangsungan maklumat yang jelas dan tepat . Ia akan mengelakkan kegusaran dan kerungsingan masyarakat akibat ketidak tepatan maklumat yang hendak di sampaikan. Kekerapan membuat pembetulan dan penarikkan maklumat akibat kesalahan kefahaman atau pentafsiran harus di elakkan sama sekali. Percangahan maklumat daripada beberapa jurucakap pemegang taruh juga amat menyusahkan masyarakat yang sudah sedia maklum dengan masalah mereka sendiri. Malah ia di burukkan lagi dengan pihak – pihak yang tidak bertanggunjawab yang menangguk di air keruh bagi menambahkan persepsi negatif terhadap sesuatu isu.

Yang pasti, masyarakat yang tidak tenteram dan kerungsingan amat mudah di pengaruhi dengan elemen-elemen negatif yang akan mencetus perbalahan dan perselisihan faham. Akibatnya masyarakat akan menyisihkan diri dari kebenaran dan menerima sahaja apa yang mereka rasa betul akibat kekilafan sistem penyampaian.

Kita perlu menjadi satu masyarakat yang progresif dan dinamik dari segi membezakan mana intan dan yang mana suasa demi perpaduan negara bangsa. Kefahaman yang mendalam di dalam sesuatu isu atau perkara adalah amat perlu dan janganlah kita sekadar mengiyakan sahaja apa yang di bentangkan kepada kita terutamanya di media sosial malah dengan sepantas kilat berkongsi maklumat yang entah dari mana asalnya dengan ahli yang lain. Kita tidak mahu menjadi bangsa yang mempromosi fitnah di alaf negara mencapai status negara maju pada 2020 tetapi kita mesti menjadi bangsa yang mempunyai nilai budaya bangsa yang tinggi mengikut acuan kita sendiri.

Image source: pixelorbital.com

Recent Posts