Yayasan 1Malaysia mengalu-alukan pengumuman daripada Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem baru-baru ini bahawa kerajaan persekutuan bersetuju kepada permintaan oleh kerajaan negeri untuk memansuhkan perkataan “Lain-Lain” dalam ruang bangsa pada borang rasmi dan menggantikannya dengan Bumiputera Iban, Bumiputera Bidayuh dan Bumiputera Orang Ulu.

Keputusan ini disusuli dengan pengumuman oleh kerajaan negeri Sabah bahawa pemansuhan perkataan “Lain-Lain” dalam ruang bangsa di dalam borang kerajaan akan digantikan dengan satu ruang kosong untuk diisi mengikut bangsa masing-masing.

Sebenarnya, pemansuhan perkataan “Lain-Lain” dalam ruang bangsa pada borang sepatutnya disokong dan dilaksanakan sekian lama malah seharusnya dilakukan pada tahun 1963, apabila negara Malaysia dibentuk.

Yayasan 1Malaysia amat prihatin dan mengambil berat terhadap perkara ini malah pernah mencadangkan kepada kerajaan untuk mengkaji semula keperluan kategori bangsa di dalam borang sama ada di sektor awam mahupun di sektor swasta pada 2 Mac 2011. Pada kenyataan media itu, Yayasan 1Malaysia berpendapat bahawa pemansuhan kategori bangsa pada borang akan membantu mengurangkan tumpuan terhadap perkataan “bangsa” disamping meningkatkan lagi semangat perpaduan.

Pemansuhan ruang bangsa dalam borang harus dikaji semula mengikut keperluan dan kegunaannya. Jika statistik bangsa diperlukan dalam sesebuah sektor bagi mencapai matlamat perpaduan yang lebih besar maka penggunaan ruang bangsa di dalam borang masih boleh diteruskan. Sebagai contohnya di dalam menggalakkan lebih ramai rakyat bukan Melayu menyertai sektor awam, etnik pemohon amatlah diperlukan bagi mencapai matlamat tersebut dan sebaliknya borang memohon pinjaman kereta tidak memerlukan ruang bangsa dan harus dimansuhkan.

Oleh yang demikian, sektor awam dan sektor swasta perlu mengkaji semula keperluan ruang bangsa dalam borang-borang yang dikeluarkan oleh mereka. Pemansuhan ruang bangsa dalam borang haruslah berdasarkan kepada keperluan dan kegunaan masing-masing.

Walaubagaimanapun, dalam isu pemansuhan ruangan bangsa ini, Yayasan 1Malaysia ingin menekankan bahawa masyarakat kita pada hari ini harus digalakkan untuk lebih menitikberatkan kedudukan sebagai warganegara daripada bangsa. Mereka harus mempunyai kefahaman bahawa kewarganegaraan sebagai suatu konsep dan amalan yang mengutamakan tanggungjawab selain daripada hak adalah lebih penting daripada kategori bangsa jika kita ingin menjadi sebuah negara yang lebih harmoni dan bersatu padu.

Image source: huffpost.com

Recent Posts