Ramadan Al Kareem mempamerkan serta menekankan banyak nilai-nilai sejagat yang murni dan antaranya ialah nilai disiplin.

Permulaan berpuasa sehingga waktu berbuka perlu mematuhi waktu tertentu dan yang lebih penting ialah ibadah puasa itu sendiri menguji disiplin diri kita dari fajar hingga ke senja — kemampuan kita untuk mengawal diri kita dari makan dan minum atau melakukan sebarang perbuatan yang melanggar amalan ibadah itu.

Amalan-amalan ibadah yang lain juga memperkukuh nilai disiplin. Solat lima waktu umpamanya berpaksi pada waktu-waktu tertentu malah rukun Ibadah haji tidak dapat dipisahkan daripada peraturan-peraturan tertentu yang wajib kita amalkan.

Walaubagaimanapun disiplin tidak terbatas pada amalan ibadah semata-mata. Disiplin adalah nilai yang sangat relevan pada setiap dimensi hidup kita. Dari soal-soal peribadi sehingga cabaran-cabaran kemasyarakatan, disiplin merupakan anak kunci yang menentukan kejayaan atau kemunduran kita. Itulah sebabnya dalam setiap falsafah agama dan budaya, disiplin dihargai dan amat diutamakan.

Adakah kekurangan disiplin menjadi salah satu daripada punca masalah yang kita hadapi sebagai sebuah negara-bangsa?

Dalam bulan yang mulia ini, kita harus menjadikan soal disiplin sebagai fokus renungan kita.

1) Adakah kerana segelintir kita kurang disiplin maka gejala rasuah merebak di sektor awam mahu pun di sektor swasta?

2) Adakah kerana kurang disiplin telah memerosotkan tahap kecekapan dan profesionalisme segelintir kumpulan-kumpulan tertentu ?

3) Adakah kerana ahli-ahli politik tertentu kurang berdisiplin menyebabkan mereka tidak dapat mengawal nafsu mereka demi mengejar dan mengekal kuasa tanpa batasan sehingga berpolitik dengan tidak mementingkan prinsip dan etika?

4) Adakah kerana aktivis-aktivis tertentu kurang disiplin sehingga bahasa yang digunakan mereka bersifat kesat dan kasar?

5) Adakah kerana sebahagian besar rakyat Malaysia kurang disiplin di dalam amalan pemakanan mereka hingga meletakkan negara kita sebagai negara paling obes di Asia?

6) Adakah kerana rakyat kita kurang disiplin dan lebih mementingkan makanan ” sedap” daripada makanan ” sihat”, maka merebaknya penyakit-penyakit seperti diabetes dinegara kita?

7) Adakah kerana kurang disiplin kita gagal menjaga persekitaran kita telah menghasilkan epidemik-epidemik seperti demam denggi yang telah meragut begitu banyak nyawa di negara kita?

8) Adakah kerana kurang disiplin di jalanraya maka jumlah yang terkorban dalam kemalangan jalanraya adalah antara yang paling tinggi di dunia?

9) Adakah kerana sebahagian daripada pelajar-pelajar kita kurang disiplin, pencapaian mereka dalam ilmu matematik berdasarkan piawaian antarabangsa masih pada tahap yang rendah?

10) Adakah kerana kurang disiplin dalam hubungan sosial di antara lelaki-perempuan, menyebabkan negara kita berdepan dengan banyak kes seks rambang, rogol, kehamilan luar nikah, pembuangan bayi, dan sebagainya ?

Jelas bahawa sekiranya disiplin merosot, masyarakat akan terus mundur ke belakang. Pengasas sains kemasyarakatan yang mashyur, Abdur-Rahman Ibn Khaldun (1332-1406) menganggap disiplin sebagai faktor utama dalam kebangkitan dan kecemerlangan sesuatu tamaddun. Mungkin itulah sebabnya, Nabi Muhammad S.A.W. pernah menyifatkan kawalan terhadap diri sebagai “Jihad al- Akhbar.”

Bagaimana kita dapat memperkukuhkan nilai disiplin dalam masyarakat? Cara kita mengasuh dan mendidik anak-anak kita memain peranan yang penting dalam mencapai matlamat ini. Mengikut pengkaji-pengkaji budaya tertentu, inilah kelebihan yang ada pada sistem kekeluargaan Jepun yang mengutamakan disiplin dalam pengasuhan kanak-kanak. Sistem persekolahan, institusi-institusi agama dan budaya serta media konvensional dan media alternatif juga boleh menyumbang kepada proses ini.

Dalam Ramadan Al Kareem ini, marilah kita beriltizam untuk menjadikan disiplin sebagai asas hidup kita !

 

Image source: https://halaqahmuntijah.files.wordpress.com

Recent Posts