Yayasan 1 Malaysia terpanggil untuk mencari pencerahan dalam isu empati antara manusia yang sempurna anggota dan akal fikir terhadap golongan kelainan upaya di Malaysia. Kita berasa amat dukacita dan terkilan dengan perkembangan yang membabitkan hak golongan kelainan upaya kebelakangan ini.

 

Keperluan untuk bergerak bebas tanpa halangan adalah hak semua rakyat Malaysia dan keperluan ini perlu di hormati oleh semua tanpa mengira kaum, bangsa dan agama. Kita tidak perlu untuk memohon kepada pihak berwajib atau sesiapa pun untuk bergerak bebas menjalankan urusan harian seperti urusan ekonomi, sosial mahupun ibadah.

 

Tunjuk perasaan secara aman oleh ahli-ahli Persatuan Damai Orang-Orang Kurang Upaya Malaysia baru-baru ini berkaitan peraturan baru melarang mereka yang mengunakan kerusi roda memasuki kawasan untuk beribadah di kuil Maha Sivan Alayam Bukit Gasing mencerminkan realiti nasib mereka yang kelainan upaya.

 

Isu ini membabitkan semua rumah ibadah dari semua agama kerana kesinambungan mobility OKU bermula dari rumah untuk mengakses mana-mana kawasan awam, pejabat dan rumah ibadah perlu di lihat secara holistik diatas hak kebolehaksesan mereka.

 

Hak kebolehaksesan bagi OKU telah di wartakan di dalam AKTA ORANG KURANG UPAYA 2008(Akta 685) dimana Klausa 16B) BAB 1: KEBOLEHAKSESAN SEKSYEN 26 (1)  dengan jelas meletakkan hak akses orang kelainan upaya untuk menggunakan kemudahan, ameniti, perkhidmatan dan bangunan awam yang dibuka atau disediakan kepada orang ramai atas asas kesetaraan dengan golongan OKU.

 

Dalam klausa 16B) BAB 1: KEBOLEHAKSESAN  SEKSYEN 26 (2) kerajaan dan penyedia mana-mana kemudahan, ameniti, perkhidmatan dan bangunan awam hendaklah memberi pertimbangan yang sesuai dan mengambil langkah yang perlu untuk memastikan bahawa kemudahan, ameniti, perkhidmatan dan bangunan awam itu serta penambahbaikan kelengkapan yang berkaitan dengannya menepati reka bentuk sejagat bagi memudahkan akses kepada dan penggunaan oleh Orang Kelainan Upaya.

 

Manakala akta yang sama dibawah SEKSYEN 27 (1) memberi hak untuk akses kepada dan hak menggunakan kemudahan, ameniti dan perkhidmatan pengangkutan awam yang dibuka atau disediakan kepada orang rami atas asas keseteraan dengan orang upaya.

 

SEKSYEN 27 (2) pula dengan jelas menekan bahawa kerajaan bertanggungjawab terhadap penyediaan mana-mana kemudahan, ameniti dan perkhidamatan pengangkutan awam hendaklah memberi pertimbangan yang sesuai dan mengambil langkah yang perlu untuk memastikan bahwa kemudahan, ameniti dan perkhidmatan pengangkutan awam itu menepati reka bentuk sejagat bagi memudahkan akses kepada dan penggunaan oleh orang kelainan upaya.

 

UNDANG-UNDANG KECIL BANGUNAN SERAGAM, 1984  PERUNTUKAN UNDANG-UNDANG KECIL 34A pula mewajibkan agar semua bangunan yang boleh dikunjungi awam disediakan kemudahan OKU di dalam dan luar bangunan perlu mengikuti piawaian Malaysia MS 1184 dan MS 1331.

 

Kesepaduan perancangan, perlaksanaan dan penguatkuasaan perlu bagi menyelesaikan isu ini yang seringkali terlepas pandangan atau sekadar melepas batuk ditangga dimana tidak ada kesinambungkan dalam perancangan, perlaksanaan dan penguatkuasaan kemudahan  untuk OKU. Ia seringkali di lihat dalam skala pembangunan makro yang menyebabkan penyediaan infrastruktur yang mesra OKU terputus-putus dan akhirnya tidak dapat digunakan oleh OKU dengan sepenuhnya

 

Kesempurnaan tubuh badan yang di anugerahkan oleh Tuhan kepada manusia harus di iringi dengan kesyukuran atas nikmat yang di berikan serta tanggungjawab terhadap insan lain yang mungkin ada kekurangan dari segi mental dan fizikal. Kesempurnaan itu jangan di salah gunakan untuk memperkecilkan hak mereka yang kelainan upaya sehingga segala perancangan khususnya pembangunan infrastruktur membelakangkan hak mereka untuk bebas bergerak tanpa halangan fizikal.

 

Secara azalinya semua manusia yang mempunyai keupayaan adalah dipertanggungjawabkan untuk membantu mereka-mereka yang memerlukan seperti Ibu bertanggungjawab menjaga bayi yang masih kecil , yang senang membantu yang susah, yang sihat menjaga yang sakit dan yang sempurna membantu yang kurang upaya. Kita perlu sentiasa meletakkan diri kita di dalam kedudukan yang memerlukan demi untuk berindak secara spontan menjalankan tanggunjawab sebagai insan yang sempurna.

 

Marilah kita bersama-sama  berakauntibiliti terhadap tanggungjawab yang di amanahkan kepada kita terutama kepada golongan kelainan upaya demi untuk  kesefahaman, keseimbangan dan kemakmuran.

 

Di dalam negara menongkah arus pembangunan kearah negara maju pada 2020, nilai murni yang memperlihatkan tahap empati yang tinggi amat perlu bagi menjamin negara Malaysia maju dengan acuan nilai murni yang tersendiri.

Image source: https://miftwa.com.my/

Recent Posts