Image source: https://perpaduan.org

3rd October 2009

SAYA ingin jelaskan pertanyaan berhubung penubuhan Yayasan 1Malaysia. Yayasan 1Malaysia adalah bebas, tidak berpihak dan tidak mencari untung. Yayasan ini ditubuhkan sekumpulan rakyat Malaysia yang berkongsi pandangan sama dan inginkan konsep 1Malaysia menjadi nadi kepada kehidupan rakyat berpandukan Perlembagaan Persekutuan.

Yayasan ini menggerak, memudah dan mendukung program yang dapat menyatupadukan rakyat Malaysia tanpa mengira keturunan, kepercayaan agama dan kedudukan ekonomi.

Objektif yayasan dapat dicapai melalui kerjasama pihak yang berkepentingan bersama dengan memberi sokongan kepada masyarakat madani dalam usaha memberikan kesedaran awam dan pembabitan dalam program serta aktiviti yang selari dengan konsep 1Malaysia.

Yayasan juga memberi input dalam dasar awam utama. Dalam usaha mencapai objektif itu, yayasan terbabit dalam empat bidang teras iaitu pembangunan program untuk perpaduan nasional; galakan, pembabitan dan sokongan bagi aktiviti pilihan; galakan kesedaran awam dan penyertaan melalui saluran komunikasi tertentu, terutama internet serta penyelidikan dan pembabitan dalam dasar utama termasuk isu perpaduan nasional.

Objektif yayasan adalah mempromosikan 1Malaysia yang bersatu dalam kepelbagaian dengan menyediakan capaian, pembabitan dan sokongan kepada penyertaan sektor awam dan masyarakat madani dalam menangani isu sosial utama semua masyarakat.

Ia juga menyediakan tempat dan membina program untuk pembangunan perpaduan; menyediakan input dan cadangan dasar perpaduan nasional dan isu penting dasar awam lain serta merangsang kesedaran, penyertaan awam dalam pembangunan sosial, dalam isu dan program awam yang amat penting.

Yayasan 1Malaysia menumpukan tiga aktiviti utama. Pertama, pembabitan dan sokongan masyarakat madani dalam aktiviti amal dan pembangunan negara; kedua, penyelidikan dan dialog mengenai isu dasar awam, terutama perkara berkaitan perpaduan nasional dan ketiga, menyampaikan konsep 1Malaysia melalui pelbagai media termasuk laman web yayasan.

Menerusi program ini, rakyat Malaysia dipelawa berkongsi pengalaman mereka supaya konsep 1Malaysia dapat direalisasikan dalam kehidupan peribadi sama ada di rumah bersama keluarga, tempat kerja, sekolah atau di persekitaran lain.Rakyat Malaysia dipelawa mengemukakan cerita mereka dalam format media, sama ada catatan bertulis, video, audio, gambar atau format lain yang bersesuaian.

Dalam usaha mempromosikan 1Malaysia, yayasan membina laman webnya, www.1Malaysia.org.my

Recent Posts